Cabaran Mencari Makanan Halal di Jepang

Redaksi 07 Juli 2020 | 07:56 76
Cabaran Mencari Makanan Halal di Jepang

Siti Dania Binti Mohd Nazri Mahasiswa Fakultas Syariah dan Hukum Universitas Islam Ar-Raniry Banda Aceh

Oleh Siti Dania Binti Mohd Nazri
Mahasiswa Fakultas Syariah dan Hukum
Universitas Islam Ar-Raniry Banda Aceh

Melihat aliran masa kini,mengembara ke luar negara bukan lagi hobi mewah yang hanya mampu dilakukan oleh golongan kelas atasan, tetapi ia kini mula menjadi sebahagian daripada gaya hidup ramai terutama anak muda.

Mengembara bukan lagi mempersoalkan keselesaan tetapi lebih kepada ingin merasai pengalaman yang berbeza, mengenal tempat baharu, budaya, sejarah dan cara hidup berbeza masyarakat di negara lain yang pastinya tidak sama dengan kita. 

Tidak mudah bagi seseorang Muslim untuk bermusafir ke negara majoriti Non-Muslim yang sememangnya negara itu kurang dengan sumber makanan yang halal. Jadi, orang Muslim  harus prihatin dan menjaga diri daripada termakan makanan yang tidak halal atau makanan yang memiliki syubhah. 

Di Jepang (Jepun, Malaysia;Red) kebanyakan orang Muslim agak sukar untuk mencari makanan halal. Hal ini karena, jumlah penduduk Muslimnya disana kurang daripada 10%. Situasi ini memberikan impak kepada penduduk Muslim termasuk pelancong yang ingin mengamalkan agama mereka dengan baik. 

Dalam hal ini, antara banyak cabaran besar yang dihadapi di negara Jepun adalah sukar mencari sumber makanan yang halal, mempunyai budaya beragama serta perbedaan budaya masyarakat Jepun dengan beberapa cara hidup Islam.

Dari segi mendapatkan makanan halal, pelancong Muslim akan berhadapan dengan lambakan sumber makanan daripada khinzir dan arak. 

Jepun adalah antara negara Asia yang paling banyak menggunakan arak serta khinzir dalam makanan dan minuman mereka, karena arak itu sudah menjadi minuman asas dalam menu kehidupan mereka.

Toko menjual arak itu terletak di mana-mana sahaja. Begitu juga khinzir, ia merupakan sumber daging utama dalam menu makanan.

Ayam pula tidak diketahui status halalnya serta cara proses sembelihannya. Boleh dikatakan majoriti ayam tidak disembelih dengan kaedah syarak. 

Justru, orang Muslim yang ingin melancong ke Jepun perlu membuat perancangan yang bijak serta memastikan kemudahan mengerjakan solat, sumber makanan halal dan melawat tempat-tempat rekreasi  yang sesuai dengan kehendak Islam.

Dari segi tempat lawatan atau tempat pelancongan, pada pandangan saya seeloknya diutamakan masjid-masjid di Jepun, kawasan rekreasi, kawasan perkampungan, istana-istana lama dan sebagainya.

Jika dahulunya amat susah untuk mencari restoran halal di Jepun karena penduduk islamnya yang minoriti disana. Namun pada masakini, restoran halal di Jepun telah tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Pelancong Muslim boleh saja mendapati restoran halal di Jepun di bandar-bandar utama seperti Tokyo, Kyoto dan Fukuoka.

Kini, pelancong Muslim tidak perlu khawatir lagi jika hendak melancong ke Jepun karena isu halal telah menjadi perhatian mereka dalam menyediakan perkhidmatan lebih baik untuk pelancong Muslim.

Ia bukan sahaja mampu menjadi daya tarikan, turut dilihat sebagai medium memperkenalkan Islam kepada masyarakat Jepun. Semoga!