Istiqamah Dalam Ibadah dan Dakwah

Redaksi 24 Oktober 2021 | 10:50 41
Istiqamah Dalam Ibadah dan Dakwah

Oleh : Asmaa' Binti Abdul Aziz 
Mahasiswa Fakultas Syariah dan Hukum 
Universitas Islam Ar-Raniry Banda Aceh 


OPINI | KORANINDEPENDEN.CO - Istiqamah dalam ibadah dan dakwah merupakan satu sifat yang mulia dan  terpuji. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 112:

فَاسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا۟ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Maka hendaklah engkau wahai Nabi Muhammad sentiasa beristiqamah tetap teguh di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan orang-orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”

Dalam membina kekuatan dan keazaman untuk beristiqamah dalam melakukan ibadah dan dakwah, kita dituntut untuk menerapkan sifat-sifat yang terpuji dan nilai-nilai benar yang telah kita semai di sepanjang kita berada dalam jalan dakwah. 

Istiqamah yang dimaksudkan itu ialah berdiri teguh di atas jalan dakwah, thiqah kepada kepimpinan, berpegang kukuh kepada akidah Islam dan melaksanakan syariatNya dengan tekun, tidak merasa lelah, tidak berubah dan tidak berpaling dari ikatan dakwah. 

Beristiqamahlah dalam ibadah dan dakwah, walaupun dengan amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih afdhal atau lebih baik daripada melakukan amalan yang banyak tetapi terputus-putus atau bermusim. Rasulullah SAW bersabda:

عن عائشة رضى الله عنها قالت، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: وأنَّ أحبَّ الأعمالِ إلى الله أدومُها وإن قَلَّ  {رواه الإمام مسلم}

Daripada Aisyah Radiallahu Anha telah berkata, bersabda Rasulullah SAW : Sebaik-baik amalan kepada Allah SWT adalah perbuatan yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit.

Sesungguhnya Allah telah menjanjikan dengan pelbagai ganjaran kepada mereka yang istiqamah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Fusilat ayat 30:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا اللَّـهُ ثُمَّ اسْتَقٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِالْجَنَّةِ الَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata: Tuhan kamu ialah Allah, kemudian mereka meneguhkan pendirian (istiqamah) maka malaikat akan turun kepada mereka sambil berkata, janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita, serta bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”

Daripada ayat Al-Quran di atas, terdapat 4 hikmah dalam beristiqamah:

Pertama: Orang yang istiqamah dalam ibadah dan dakwah akan didatangi oleh para malaikat dan ia merupakan satu keuntungan disebabkan malaikat itu membawa rahmat.

Kedua: Orang yang istiqamah, tidak mudah merasa takut kerana ia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinannya, kukuh pendiriannya dan besar harapannya kepada Allah SWT

Ketiga: Orang yang istiqamah tidak mudah merasa sedih terutama apabila kehilangan sesuatu kerana ia merasa semua itu adalah memang milik Allah SWT

Keempat: Orang yang istiqamah mendapat balasan syurga yang telah dijanjikan oleh Allah SWT

Memandangkan istiqamah itu mempunyai banyak kebaikan, ditambah pula dengan ganjaran yang sangat banyak, maka beristiqamahlah pada setiap amal ibadah, dakwah, segala amal kebajikan dan tinggalkanlah perkara-perkara yang munkar. 

Mudah-mudahan dalam kita beristiqamah akan dapat membentuk diri kita menjadi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Mudah-mudahan segala ibadah, dakwah dan amal kebajikan yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT mendapat berkat, rahmat dan ‘inayah daripada Allah SWT. (*)